Isi merupakan komponen penting dalam sesebuah karangan. Dengan adanya isi dalam sesebuah penulisan karangan, hala tuju karangan tersebut akan lebih jelas. Isi dalam sesebuah karangan juga penting bagi memastikan pelajar berada pada landasan yang betul semasa mengarang penulisan, iaitu menulis karangan mengikut kehendak soalan. Sebelum mengarang isi dalam sesebuah penulisan atau karangan, pelajar wajib memahami soalan dan arahan yang disoal. Misalnya, jika soalan meminta murid membina satu karangan berkenaan faedah-faedah membaca, maka murid hanya perlu menyatakan faedah-faedah membaca, dan bukannya menyatakan perkara-perkara lain yang tidak disoal dalam kertas soalan. Justeru, sebelum mula membina isi karangan, murid perlu memahami dengan bersungguh-sungguh tentang soalan yang ditujukan dan menjawab berdasarkan apa yang disoal sahaja.
Seterusnya, setelah benar-benar memahami soalan yang disoal dalam kertas soalan, pelajar harus merangka isi bagi memudahkan proses membina karangan. Proses ini dinamakan sebagai proses pengembangan idea. Terdapat tiga komponen utama dalam proses pengembangan idea ini iaitu pendahuluan, isi dan juga penutup. Untuk memperoleh markah yang memberangsangkan, murid perlu tahu teknik-teknik menulis ketiga-tiga komponen ini dengan baik. Berikut merupakan kaedah penulisan isi yang baik untuk dijadikan rujukan kepada para pelajar.
a) Perenggan Pendahuluan
Dalam bahagian pendahuluan ini, pelajar perlu memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Tiada isi yang dinyatakan dalam bahagian ini namun pelajar harus menyelitkan hal-hal yang berkait rapat dengannya atau menerangkan pengenalan secara lebih terperinci berkenaan dengan tajuk yang dipilih supaya pembaca lebih tertarik dan tertanya-tanya untuk meneruskan pembacaan. Pendahuluan boleh mengandungi kira-kira tiga hingga lima ayat.Karangan perlu bermula dengan ayat pengenalan dan satu ayat pengenalan sahaja sudah cukup memadai. Ayat inilah yang seterusnya akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum dan seterusnya diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian di belakangnya bagi menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini akan diakhiri dengan satu ayat fokus yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan dan arah sebenar karangan berkenaan, iaitu persoalan yang ingin dibincangkan dalam bahagian isi nanti.
Contoh pengenalan:
(1) Amalan membaca ialah sikap suka menelaah bahan bacaan dalam aktiviti harian seseorang pelajar itu. (2) Antara bahan bacaan itu meliputi novel, majalah dan akhbar yang banyak dijual di kedai-kedai buku itu. (3) Sebenarnya, amalan ini mempunyai banyak faedah kepada diri pelajar apabila dilakukan secara kerap.
Huraian:
Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) ialah ayat huraian dan ayat (3) pula ialah ayat fokus yang memberikan gambaran keseluruhan karangan iaitu yang berkaitan dengan inti tajuk iaitu "faedah-faedah membaca".
(b) Perenggan Isi
Jumlah isi dalam satu perenggan bergantung kepada jumlah isi utama. Satu-satu isi utama perlu dihuraikan dalam satu perenggan supaya tampak lebih kemas dan bagi memudahkan pemeriksa menyemak karangan. Tidak digalakkan sama sekali bagi pelajar untuk meletakkan dua atau lebih isi dalam satu perenggan. Urutan isi utama pula perlulah mengikut kepentingan iaitu isi yang lebih penting dan utama perlulah dihuraikan terlebih dahulu. Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap dalam membina karangan, ayat topik boleh diletakkan sama ada di hadapan, di tengah atau di belakang perenggan. Namun, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, pelajar digalakkan meletakkan ayat topik pada bahagian awal karangan. Dua hingga empat ayat huraian pula akan menyusul selepas ayat topik dikarang. Ayat ini menganduni isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan turut juga diselitkan contoh-contoh yang berkaitan.
Contoh isi:
(1) Kebaikan yang ketara ialah membaca mampu menambah ilmu pengetahuan seseorang itu. (2) Aktiviti membaca pasti membawa pelajar memperoleh maklumat terkini tentang sesuatu perkara itu seperti penemuan kajian sains yang mengejutkan itu. (3) Lantaran itu, diri pelajar sering terdedah pada kajian saintis yang sering berubah-ubah mengikut zaman.
Huraian:
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu ayat yang menerangkan isi utamanya iaitu "membaca mampu menambah ilmu pengetahuan seseorang". Ayat (2) ialah ayat huraian dan ayat (3) merupakan ayat kesan daripada ayat (1) atau isi utama.
(c) Perenggan Penutup
Perenggan ini berperanan untuk merumuskan secara keseluruhan tentang idea-idea yang telah dicoret dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Perenggan ini boleh dibina dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Antara cara mudah menulis perenggan penutup adalah dengan menyatakan semula isi-isi utama, membuat ramalan dan memberikan cadangan dan pendapat berkenaan dengan tajuk karangan secara keseluruhan. Walaubagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.
Contoh penutup:
Kesimpulannya, semua faedah membaca itu benar-benar berlaku sekiranya diamalkan secara baik. Ibu bapa perlulah membantu memupuk minat ini dengan memberi galakan atau membeli bahan bacaan yang berkualiti buat anak mereka. Bak kata orang tua-tua membaca itu jambatan ilmu yang membuktikan amalan ini penting dilaksanakan oleh semua pelajar tanpa mengira batasan usia tersebut.